| | Tidur, Tidur, Dan Tidur.
Mula-mula aku ingatkan nak menulis sebelum pergi Shanghai (ya, pergi juga aku akhirnya). Tapi entah kenapa sibuk betul aku ke sana ke sini. Internet pun macam taik (ini semua orang harap sudah sedia maklum). Tarikh keberangkatan pun asyik bertukar-tukar. Sudahnya ayah cakap amiklah satu tarikh ni. Maka dengan jayanya aku pergi beli tiket sehari sebelum pergi. Pada hari pergi, tah macam mana ayah telefon suruh tukar tarikh. Mencanak pergi KLIA mintak tukar tarikh. Kerani ticketing kata tak boleh. Waktu departure lagi 3 jam. Mencanak balik rumah semua. Mandi, packing beg besar, makan. Keluar rumah semula. KLIA. Zoom. Pagi buta esoknya terkebil-kebil tahan ngantuk tunggu ayah di Pudong.
Jalan sana-sini di Shanghai. Ada hari sejuk. Ada hari panas sampai berpeluh. Baru hari kedua seribu ringgit yang aku bawa dari Malaysia dah habis. Hari ketiga aku dilanggar basikal bermotor. Aku nak tanya, siapa antara kamu semua yang pernah kemalangan jalanraya ketika bercuti? Lebih tepat, siapa pernah kemalangan basikal (bermotor atau tidak)? Aku rasa aku seorang je.
Maka malam itu aku mengubati luka bersuka ria sampai awal pagi, ditemani adik dan seorang rakan. Rakan China itu bawa kami ke tempat yang cantik, penuh dengan restoran ekslusif yang dibuka sehingga ke awal pagi. Aku lupa tangan benjol. Makan minum situ mahal. Habis lagi beratus ringgit. Aku tersedar dan menjadikan malam itu saat terakhir aku boros. Esok lusa dan seterusnya akan lebih berhati-hati. Rasa syukur ayah ada bagi duit. Keluar restoran pelancong Singapura ajak bergambar. Mereka ingat ketiga-tiga kami Shanghainese. Adik aku bagi salam, rakyat Singapura terloncat terkejut.
Hari-hari di Shanghai agak laju. Tiba-tiba aku sudah dalam kapalterbang, sebelah aku Elena, gadis Russian sedang tunjuk gambar-gambar miliknya dari laptop. Kami bertukar nombor.
Sampai Malaysia. Encik Biskut sudah bersandar di tepi pintu aero-bridge (staff boleh masuk). Rasa nak mengalir airmata tengok dia. Walhal bukannya sampai berbulan tak jumpa. Di rumah, mak hidangkan spaghetti goreng yang dimasak sendiri dan rojak mamak yang dibeli. Semua orang bedal spaghetti. Mak seorang yang makan rojak mamak.
Pagi esoknya mak sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah. Bawa mak pergi klinik. Doktor bagi ubat. Balik rumah. Encik Biskut datang. Keluar dengan Encik Biskut sebelum dia pergi kerja. Empat ke lima jam kemudian balik rumah. Mak terlantar atas katil. Tak mampu bangun mahupun bercakap. Baldi berisi muntah kosong di sebelah katil. Mata dan pipi kelihatan sangat cengkung. Tangan sudah kecut, kulit dah jadi hitam, dan badan mengecut keding. Bagaikan buah yang diperah jus nya. Aku terkejut memikirkan bagaimana perubahan yang dahsyat boleh berlaku dalam masa yang singkat. Fizikalnya menyamai orang yang sudah sakit berbulan. Nampak aneroxic. Seluruh badan terkejang-kejang. Aku telefon ambulan.
Mak sudah di emergency room, Sunway Medical Center. Doktor terangkan apa terjadi. Emak keracunan makanan. Apa yang menjadi kes ini kronik ialah mak bermasalah tekanan darah rendah. Muntah yang terlalu banyak menyebabkan mak dehydrated teruk, dan ini mengakibatkan tekanan darah menjunam jatuh. Keadaan fizikal mak berubah drastik kerana kandungan air yang emak minum disusuli dengan pengeluaran air yang berkali ganda melebihi jumlah yang diminum. Bila air tak cukup garam pun tak cukup. Sebab itu dia kejang-kejang satu badan.
Mak perlukan rawatan rapi. Malangnya ICU di hospital itu sudah penuh. Jururawat tolong telefon SJMC, hospital-hospital swasta di daerah Klang, Shah Alam, Bangsar, Damansara, dan Kuala Lumpur semuanya tiada kekosongan katil di ICU. Hampir dua jam termenung menunggu panggilan di bilik kecemasan. Akhirnya Hospital Ampang Puteri melaporkan ada sebuah sahaja katil kosong di ICU mereka. Mak naik ambulan lagi sekali ke Ampang Puteri. Ayah yang berada di Shanghai menangis-nangis sedih, akan tetapi kami sekeluarga mahu dia habiskan training. Great Wall syarikat ayah bekerja berjanji mempercepatkan training ayah.
Bermula kembali malam-malam kurang tidur. Selama di Shanghai, waktu tidurku tak terjaga. Kini di hospital manalah boleh tidur dengan keadaan kerusi keras dan penghawa dingin yang melampau sejuk. Hari kedua aku ada pulang ke rumah tapi tak dapat tidur lena juga. Malam kedua tidur ayam. Malam ketiga tak tidur. Hari keempat Elena si gadis Rusia datang melawat. Petangnya kawan lain pula datang melawat sehingga lewat malam. Malam hari keempat sempat balik mandi kemudian terkebil-kebil lagi di kerusi bilik menunggu. Malam kelima mak sudah beransur pulih. Aku pula sudah tak mampu tahan mata. Mak sudah dilepaskan dari ICU dan dimasukkan ke dalam wad. Aku merangkak lega ke atas sofa panjang di dalam bilik wad dan tidur nyenyak.
Hari ini ayah sampai juga akhirnya ke pangkuan emak. Dia selamat lulus training di Shanghai dan sudah boleh beroperasi bekerja nanti. Sekarang dia dapat cuti 8 hari di Malaysia. Malam ini ayah gantikan tempat aku jaga emak di wad.
Sekarang aku mengadap internet, di atas katil.... akhirnya.
|
| | Posted 4/21/2009 1:46 PM - 66 Views - 10 eProps - 8 comments
- recommend
    - recs0
- share
- email
 - sent0
Give eProps or Post a Comment |